Berbakti Kepada Ibu Bapa = Pahala Jihad

>> Friday, February 4, 2011


KITA kerap mendengar keluhan dan rungutan anak yang kurang sabar menjaga ibu bapa mereka yang uzur. Beban kerja di pejabat, urusan membina rumah tangga dan mendidik anak menjadi tekanan bagi mereka. Apalagi jika ditambah dengan tanggungjawab menjaga kedua-dua orang tua.

Jika ditanya pada generasi yang hidup pada zaman moden ini terhadap suatu pilihan, adakah mereka suka hidup serumah dengan ibu bapa atau berpisah - mungkin kebanyakan mereka memilih untuk berpisah daripada bercampur serumah dengan ibu bapa atau mentua. Tidak salah jika mereka mempunyai keinginan untuk hidup mandiri. Tetapi, yang menjadi masalah adalah bagaimana jika ibu bapa kita telah uzur dan perlukan penjagaan dan perhatian anaknya.

Sesiapa saja yang menerima kehadiran ibu bapa di dalam rumah mereka tentu memerlukan kekuatan dan kekentalan jiwa iaitu 'kesabaran'. Kita hendaklah sentiasa ingat kepada ganjaran yang Allah berikan sebagai balasannya. Untuk memastikan niat itu sentiasa terjaga dalam batas ikhlas kerana Allah, eloklah diperhatikan beberapa panduan untuk mendapatkan kekuatan dalaman bagi memelihara ibu bapanya yang uzur.

Yakin dengan keikhlasan menjaga mereka akan menjadi teladan yang baik untuk anak.Tangan yang membelai dengan penuh kasih, pandangan mata yang menghantar sinar kegembiraan, kata-kata yang manis dan wajah yang reda lahir dari hati yang ikhlas. Begitulah gambaran ideal adab seorang anak. Tunjukkan kepada anak kita begitulah cara melayan orang tua. Kelak mereka akan terbiasa dengan ajaran itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barang siapa yang menziarahi kedua-dua orang tuanya, maka Allah mencatat untuknya setiap langkahnya dengan 100 kebaikan dan menghapuskan 100 kejahatan serta mengangkat untuknya 100 darjat, apabila dia duduk di hadapan kedua-dua orang tuanya serta bercakap dengan perkataan yang baik, maka kelak pada hari kiamat Allah Taala akan memberi kepadanya nur cahaya yang memancar di hadapannya. Apabila dia kembali dari ziarahnya itu, maka kembalilah dia dengan mendapat keampunan." (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Zar al-Ghifari)

Tetapi, jika layanan buruk yang diberi, rungutan dan kesalan yang selalu didengar, adakah kita bersedia menerima perlakuan yang sama seperti itu daripada anak kita sendiri nanti? Sesungguhnya Allah Maha Adil kepada hamba-Nya. Jika tidak dibalas di dunia, pasti di akhirat balasan akan diterima.

Yakin dengan pahala daripada Allah.Kedudukan ibadat yang paling tinggi di sisi Allah adalah tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Adakah anda tahu ibadat apakah yang kedudukannya sama tinggi dengan yang pertama dalam pandangan Allah ini?

Semaklah firman Allah yang mafhumnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan mengatakan kepada mereka (perkataan kasar) sekalipun perkataan: "Ha" dan janganlah engkau menengking dan menerjah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (bersopan santun)." (Surah al-Isra', ayat 23)

Ibnu Abbas menerangkan: “Sesungguhnya ada tiga ayat dalam al-Quran yang tidak dapat dipisahkan satu sama lain dari sudut kewajipan mengamalkannya. Pertama adalah perintah taat kepada Allah dan taat kepada Rasul, kedua-duanya tidak boleh dipisah, mesti dilakukan bersama-sama dalam mentaatinya. Kedua perintah dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Ketiga adalah perintah bersyukur kepada Allah dan bersyukur kepada kedua-dua ibu bapa. Kedua-duanya mesti dilaksanakan bersama tidak boleh dipisah. Bersyukur kepada Allah tetapi tidak bersyukur kepada ibu bapa, ia tidak akan diterima Allah.

Kerana itu Rasulullah SAW bersabda: "Keredaan Allah berada dalam keredaan orang tua dan kemurkaan Allah berada dalam kemarahan mereka." (Hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abdullah bin Amru bin 'Ash)

Berbakti kepada ibu bapa sama nilainya dengan pahala jihad. Sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Amru bin 'Ash berkata: "Pada suatu hari seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah SAW bertanya kepada lelaki itu: "Adakah orang tuamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya, mereka masih hidup." Rasulullah SAW bersabda: "Dalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Betapa besarnya pahala syahid kerana menjaga mereka, mengasihani dan memberi perlindungan kepada mereka. Sesiapa yang melakukan kerja jihad ini, hendaklah dia tetap istiqamah sampai Allah akan menentukan siapa yang paling beruntung itu.

Sentiasa ingat ancaman kepada si penderhaka. Ancaman pertama adalah berdosa seperti orang yang menyekutukan Allah SWT. Hal ini disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang maksudnya: "Mahukah sekiranya aku menyebutkan kepadamu mengenai sebesar-besarnya dosa besar? Iaitu menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ancaman kedua adalah haram baginya syurga Allah. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Tidak akan masuk syurga orang yang derhaka kepada orang tua, orang yang suka mengungkit-ungkit kebajikan dan orang yang ketagih minuman keras." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ancaman ketiga adalah doa ibu bapa tiada hijab antaranya dengan Allah SWT. Jika mereka berasa dikhianati oleh anak-anak atau tidak dipedulikan sehingga membuat mereka marah dan sakit hati, apa-apa saja ucapan yang keluar dari mulut kedua-duanya yang berupa kekesalan akan didengar Allah dan apa-apa permintaan akan dimakbulkan-Nya.

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Doa tiga orang yang pasti dikabulkan oleh Allah ialah doa orang yang tertindas, doa orang yang sedang dalam musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abu Hurairah)

Hanya rahmat Allah saja yang menguatkan hati kita untuk bersikap sayang dan kasih kepada keduanya. Sesiapa yang telah dicabut rahmat Allah dari dadanya, dia akan melupakan kedua orang yang paling berjasa dalam hidupnya tanpa rasa bersalah!


~Dr Juanda Jaya

1 comments:

hanim yusra February 4, 2011 at 6:49 AM  

sayangilah mereka elagi masih ada~